Sunday, 4 May 2014

PRK Teluk Intan: Presiden Gerakan paling sesuai wakili BN

IPOH: Presiden Parti Gerakan, Datuk Mah Siew Keong adalah calon paling sesuai untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Penasihat parti itu, Datuk Chang Ko Youn, berpendapat Mah mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membawa pembangunan, sumbangan dan menabur khidmat kepada komuniti di Teluk Intan, sejak beberapa tahun lalu.



“Saya percaya beliau paling layak dan calon paling sesuai bagi pilihan raya kecil ini kerana pengundi Teluk Intan telah melihat prestasi, rekod perkhidmatan, personalitinya dan lebih penting beliau ialah anak tempatan,” katanya selepas melancarkan ‘Charity Food Fair’ Rumah Orang Tua Kampung Simee, semalam.

Bagaimanapun, Chang berkata, senarai calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan akan dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Parti Gerakan juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan rundingan mengenai calon paling sesuai dan berpotensi untuk mewakili BN.

Jelasnya, Gerakan sedang membuat persiapan untuk menghadapi PRK itu dan adalah ‘malang dan terlalu cepat” kerana ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Pastinya PRK yang akan datang ini akan menjadi perlawanan amat sukar berdasarkan senario politik semasa, tetapi Gerakan mempunyai rangkaian yang kuat, keahlian dan pasukan berdedikasi yang semuanya akan digerakkan untuk menghadapi PKR…kami mempunyai rekod prestasi baik, nama dan juga dikenali masyarakat,” katanya.

Senario pilihan raya umum (PRU) ke-13 tidak sama dengan keadaan semasa, memandangkan pada 2013, pengundi dipengaruhi khabar angin kononnya berlaku kemasukan warga asing untuk mengundi.


-->
“Pada ketika itu, pembangkang juga dilihat mempunyai harapan untuk menjadi kerajaan. Kali ini saya berpendapat pengundi mahu menghargai sumbangan BN dan lebih baik mereka memilih calon BN yang boleh memberi perkhidmatan berkesan serta menjadi jambatan antara penduduk Teluk Intan dan kerajaan,” katanya.

Mah pernah bertanding dan memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU ke-10 dan PRU ke-11, bagaimanapun tewas pada PRU ke-12 dan PRU ke-13.

PRK Parlimen Teluk Intan perlu diadakan, ekoran wakil rakyatnya daripada DAP, Seah Leong Peng, 48 tahun, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Khamis lalu.
Pada PRU ke-13, Seah menewaskan Mah sebagai calon BN dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Mendiang sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar selama tiga penggal sejak 1999.

No comments:

Post a Comment