Sunday, 25 May 2014

PRK Bukit Gelugor: Peratusan keluar mengundi rendah setakat 11 pagi - SPR

GEORGETOWN: Sejumlah 16,418 pengundi atau 19.95 peratus telah keluar mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor sehingga 11 pagi ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau yang berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian itu, berkata peratusan yang keluar mengundi setakat 11 pagi itu adalah rendah iaitu secara purata hanya enam hingga tujuh peratus setiap jam.


"SPR sasar peratusan keluar mengundi setiap jam sekurang-kurangnya 10 peratus, ia agak rendah daripada penanda aras yang ditetapkan. Bagaimanapun kami harap peratusan akan meningkat menjelang 1 tengah hari nanti," katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Mohamad Nor Ahmad di sini hari ini.


Beliau berkata saluran satu dan dua untuk warga emas menunjukkan bilangan yang ramai berbanding saluran tiga hingga enam untuk orang muda.

Diminta mengulas berhubung penarikan diri calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan, 46, pada saat-saat akhir, Abdul Aziz menegaskan Abu Backer Sidek masih lagi calon kerana namanya masih tertera pada kertas undi.

"Pengundi boleh pilih dia sekiranya pengundi suka, sebab itu saya nasihatkan mana-mana individu yang nak bertanding berfikir panjang, dia ada satu jam untuk berfikir sebelum pengurus pilihan raya umumkan pencalonannya (pada hari pencalonan), tidak ada makna kalau dia umumkan nak tarik diri, namanya masih ada pada kertas undi," katanya.

Berhubung kes perang mulut antara Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan iaitu calon untuk PRK Bukit Gelugor dengan exco kerajaan negeri Phee Boon Poh, Abdul Aziz berkata pihaknya belum menerima laporan kejadian itu.
Sementara itu, proses pengundian yang bermula sejak pukul 8 pagi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata sehingga jam 11 pagi ini polis tidak menerima sebarang aduan berkenaan kekecohan dan kekacauan di semua 17 pusat mengundi.

"Walaupun berlaku kesesakan trafik di kawasan pusat mengundi, kami berjaya mengawalnya dengan baik dan anggota polis melencongkan laluan di beberapa jalan bagi melancarkan pergerakan lalu lintas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata anggota polis ditempatkan disemua lokasi yang sepatutnya sejak pukul 6 pagi, selain membuat pemantauan dari udara.

Parlimen Bukit Gelugor mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paya Terubong, Air Itam dan Seri Delima, kawasan itu mempunyai 82,431 pengundi.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan saingan empat penjuru antara calon DAP Ramkarpal Singh, Huan dan dua calon Bebas Mohd Nabi Bux Mohd Abdul Sathar serta Abu Backer Sidek.

Bagaimanapun kesemua calon tidak mengundi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas. Mendiang memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment