Jawatankuasa itu menempatkan pakar bertaraf tinggi yang boleh menentukan dengan tepat punca kemalangan.
Mana-mana pakar yang mempunyai akses kepada kotak hitam mampu memanipulasi maklumat yang terkandung di dalam alat berkenaan daripada saat-saat akhir penerbangan dan boleh menghalang penyiasat daripada melakukan analisis yang telus.

Stesen radio Russia, Kommersant FM juga melaporkan kotak hitam itu kini dibawa ke Moscow.

Perlu ada akses sepenuhnya

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berkata; “Sebuah badan antarabangsa mesti mempunyai akses sepenuhnya kepada lokasi nahas dan tiada sesiapa pun boleh masuk ke dalam kawasan itu, atau memindahkan mana-mana sisa nahas termasuk kotak hitam.”

Beliau berkata, pihak berkuasa Ukraine berjanji untuk memasukkan pasukan Malaysia menyertai pasukan siasatan nahas selain mengadakan rundingan dengan tentera pemisah untuk mewujudkan ‘koridor misi kemanusiaan’ di lokasi nahas.

Bekas Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB), Deborah Hersman yang juga salah seorang penyiasat kemalangan utama dunia, memberitahu NBC; “Dalam tempoh 24 hingga 48 jam seterusnya, perkara utama ialah untuk mencari empat bahagian pesawat dan yang paling penting ialah rakaman data pesawat serta rakaman suara kokpit.”

“Dua alat itu akan memberikan maklumat paling berguna mengenai apa yang sebenarnya terjadi pada saat-saat akhir sebelum nahas berlaku.”

Hersman berkata, konflik di Ukraine sedikit sebanyak akan menjejaskan proses siasatan.

Katanya, adalah penting supaya tiada bahan bukti yang diusik dalam apa cara sekali pun di lokasi nahas.